Friday, 28 October 2011

Usahawan Lepasan IPT 5


Walaupun hanya berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), seorang bekas pelajar Institut Skill-Tech di sini mampu membuktikan usaha dalam bidang ternakan boleh merubah kehidupan jika ia dilaksanakan secara tekun dan berterusan.
Muhammad Syahmi Naim Suboh, 22, kini sudah boleh berbangga dan tersenyum apabila memperoleh pendapatan RM35,000 sebulan hasil usaha gigihnya menceburi bidang ternakan kambing dan lembu pada April tahun lalu.
Melalui Syarikat Puncak Jaya Agroland yang ditubuhkan hasil bantuan ahli keluarganya, Muhammad Syahmi Naim adalah antara golongan belia yang menjadi penternak industri kecil dan sederhana (IKS) paling berjaya di Kampung Seri Muda, Jerantut, Pahang.
Bermula secara kecil-kecilan menternak kambing dan lembu sewaktu masih belajar di Institut Skill- Tech Durian Tunggal dekat sini, ahli keluarganya sanggup membuat pinjaman RM400,000 bagi membolehkan Muhammad Syahmi Naim mengusahakan industri tersebut.
Berkat kegigihannya, dia kini sudah mempunyai 300 ekor kambing dan 34 ekor lembu di samping mengusahakan lembu tenusu dan tahun ini syarikat yang diusahakannya mula menuai hasil apabila sebanyak 250 ekor kambing telah dijual untuk dikorbankan sempena Hari Raya Haji bulan depan.
Hasil usaha anak muda itu membolehkan dia mendapat pengiktirafan dari Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan sebagai Usahawan Berdaya Maju.
Atas usaha gigih yang dilakukan oleh Muhammad Syahmi Naim, dia dianugerahkan Tokoh Pelatih Terbaik (Lelaki) pada Majlis Konvokesyen Institut Skill-Tech 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Seramai 300 pelajar menerima sijil masing-masing pada majlis penyampaian anugerah tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek.
”Saya gembira menerima anugerah ini dan lebih penting saya berjaya mengotakan janji untuk menjadi usahawan muda yang berjaya dalam industri penternakan lembu dan kambing.
”Tidak ada ruginya menceburi bidang ini kerana apa yang penting kita perlu bersabar dan ada ketekunan serta sikap tidak cepat putus asa yang menjadi asas dan pegangan saya berjaya dalam bidang ini,” katanya.
Muhammad Syahmi Naim berkata, dia kini berazam untuk menjadi salah sebuah syarikat bumiputra terbesar mengusahakan industri tersebut dengan berskala besar pada masa depan.
Sementara itu Nurasikin Noralam Shah, 19, dari Pontian, Johor yang mengambil kursus Bioteknologi pula dianugerahkan Tokoh Pelatih Terbaik (Perempuan).
”Saya tidak menyangka akan menerima anugerah ini dan amat berbangga. Saya bercita-cita ingin menceburi bidang usahawan dalam bidang bioteknologi,” katanya.(Sumber Utusan)

Usahawan Lepasan IPT 4


Graduan berkelulusan Diploma Teknologi Tekstil dari UiTM ini telah menyertai Projek Tunas Mekar Terengganu pada tahun 2005. Pada 4 Jun 2007, beliau telah memulakan perniagaan sendiri dalam bidang restoran.

Usahawan Lepasan IPT 3

Hafiz Usahawan Komputer Kitar Semula

“Kehidupan di kampus mendedahkan saya kepada satu keperluan, iaitu komputer. Ramai pelajar perlukan komputer tetapi mereka tidak mampu memilikinya kerana terlalu mahal,” kata pemilik syarikat komputer kitar semula, Apex Technology, Hafiz Hashemi Johaini.

Siapa sangka, bermula daripada kesukaran membeli set komputer di universiti memberi idea kepada anak muda berusia 27 tahun ini meneroka bisnes `komputer mampu milik’ hingga kini beliau mempunyai rangkaian lima kedai komputer di serata tanah air, tiga unit kedai bergerak di universiti awam utama di sekitar Lembah Klang, sebuah kilang dan menggaji lebih 20 pekerja.

Mengimbas pengalamannya sewaktu belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafiz, ketika itu masih menuntut di tahun akhir, memulakan `perniagaannya’ dengan menampal iklan menjual komputer pada harga mampu milik kepada pelajar UiTM di kolej kediaman dan pusat pengajian. Set komputer pertama yang dijual hanya berharga RM400.

Usaha itu ternyata berbaloi selepas menjual set komputer terpakai dan mencapai pendapatan RM2,000 sebulan walaupun ketika itu masih bergelar pelajar universiti. Jualan set komputer itu tersemai di benak Hafiz hingga beliau bertekad membangunkan perusahaan itu sebagai kerjaya.

Hafiz berkata, perniagaan secara kecil-kecilan itu sebenarnya lebih didorong daripada sikap tidak terlalu bergantung pada ibu bapa untuk menampung perbelanjaan di UiTM. “Saya tidak dapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jadi saya kena cari jalan bagaimana hendak dapatkan wang bagi menampung kos sara hidup. “Waktu itu, walaupun masih belajar, saya perlukan belanja antara RM400 hingga RM500 sebulan untuk buat projek, beli buku, makan minum, sewa rumah dan pelbagai belanja lain,” katanya yang bertekad untuk tidak membebankan keluarga walaupun bapanya pegawai bank.

Bagi Hafiz, bapanya masih perlu menanggung perbelanjaan hidup ibu dan empat adiknya di Taman Keramat.
Sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran (Pengangkutan), Hafiz tidak terburu-buru mengusahakan perniagaan sendiri. Sebaliknya beliau menimba ilmu dalam bidang jualan komputer dengan bekerja di sebuah syarikat milik bukan Bumiputera selama setahun. Pada 2004, Hafiz memberanikan dirinya menubuhkan Apex Technology yang memanfaatkan komputer terpakai yang dibaik pulih untuk dijual semula.

Pada pertengahan 2005, Hafiz bertemu seorang rakan di Kedah yang membuka matanya terhadap kewujudan peluang menjadi usahawan iaitu melalui Skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dianjurkan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB). Walaupun baru bermula dalam perniagaan komputer terpakai, Hafiz bercita-cita besar dan berhasrat memajukan perniagaan yang berkembang pesat berikutan permintaan tinggi di kalangan pengguna komputer, terutama pelajar.

Beliau berkata, PUNB memberi pinjaman bernilai RM175,000 untuk dia membeli lebih banyak skrap komputer daripada syarikat dan bank sebelum diambil komponen yang boleh diguna pakai semula.
Menurutnya, beliau mendapat sokongan padu daripada PUNB melalui beberapa kursus serta bimbingan dan khidmat nasihat, selain berbekalkan pengalaman sedia ada. Bagi memastikan harga ditawarkannya kompetitif, Hafiz berkata, beliau perlu memastikan harga yang ditawarkan paling murah seperti set komputer semurah RM199 yang dilengkapi perisian Words, Excel, Powerpoint, pemacu CD dan melayari Internet.

Katanya, golongan sasaran seperti pelajar dan keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah menjadikan harga set komputer yang ditawarkan perlu mampu milik. Untuk itu, beliau memerlukan stok komputer terpakai yang besar dan perlu bekerjasama rapat dengan pengusaha barangan lusuh dan pembeli peralatan serta komponen komputer terpakai yang didominasi peniaga bukan Bumiputera.

Menurutnya, pergaulan dan perniagaan dengan masyarakat Cina yang menguasai bisnes komputer dan barangan skrap yang banyak dijalankan oleh kaum India memberi pendedahan dalam perniagaan berkaitan.
Mengupas cabaran dihadapinya dalam membangunkan Apex Technology, Hafiz kesal di atas sikap usahawan Melayu yang tidak cekal, menyebabkan banyak perniagaan berkubur begitu saja selepas gagal dalam beberapa cubaan.

Beliau yang terbabit dalam usaha melahirkan usahawan muda daripada kalangan graduan mendapati hanya dua daripada 10 peserta berjaya meneruskan perniagaan lantaran sikap negatif itu. “Mentaliti graduan muda kita, asal ada sijil saja ingat sudah boleh berniaga, sedangkan bisnes adalah satu tanggungjawab yang memerlukan disiplin, kecekalan dan komitmen. “Bisnes rugi sekalipun kena teruskan kerana ia mengajar kita cara berniaga yang betul. Tidak ramai orang kita dalam perniagaan komputer, tetapi peluang yang ada masih terbuka luas untuk kita,” katanya. Ditanya mengapa beliau masih membujang walaupun berusia lewat 20-an, anak sulung lima beradik itu berkata, beliau mahu berjaya dulu dalam perniagaan sebelum memikirkan soal rumahtangga.
Malah, keluarganya tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan kerana mereka memahami kesibukan dan dan cita-citanya dalam dunia perniagaan komputer.

Hasil aksesori jenama Apex

Apex Technology, syarikat pembekal komputer baru dan terpakai, meletakkan tempoh tiga tahun lagi untuk meningkat kedudukan syarikat itu sebagai antara pembekal peralatan komputer utama di negara ini selain mengeluarkan aksesori komputer di bawah jenama Apex.

Hafiz Hashemi berkata, hasrat itu akan disokong melalui penerokaan pasaran luar negara bermula dengan Indonesia selain usaha mewujudkan rangkaian usahawan komputer Bumiputera melalui pelbagai kerjasama dengan agensi kerajaan dan universiti tempatan. “Bagi pasaran luar negara, Indonesia mempunyai potensi besar daripada segi permintaan terhadap komputer dan peralatannya. Syarikat berusaha meneroka pasaran itu di Mangga Dua, Jakarta pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, Apex Technology juga bakal mendapat suntikan modal melalui pinjaman Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berjumlah RM1juta bagi pemerolehan lebih banyak peralatan baru dan skrap komputer dalam usaha meningkatkan stok dan memperluaskan pasaran komputernya.
“Bagi skrap komputer, kita berusaha mendapatkan bekalan daripada dalam dan luar negara, termasuk United Kingdom serta mengimport komponen baru dari China,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini syarikat yang berpangkalan di Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor itu mempunyai lima premis di Plaza Idaman, Gombak; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak, Selangor; Melaka; Tanah Merah, Kelantan; dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Selain itu, Apex Technology diperkukuhkan lagi melalui unit kedai bergeraknya di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta sebuah kilang di Jalan Gombak.

Menurut Hafiz, set komputer kitar semula mempunyai pasaran besar, terutama di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai perniagaan Apex Technology boleh berkunjung ke laman web www.apextechnology.com.my. atau ibu pejabatnya di No 27A, Tingkat Satu, Jalan 4/21D Medan Idaman Business Centre, Gombak, Selangor, atau e-mel apex_tech1@yahoo.com.

Usahawan Lepasan IPT 2


SIAPA sangka, anak kampung tidak memiliki pendidikan tinggi ini akan bergelar jutawan dan memiliki rangkaian perniagaan yang bukan calang-calang.

Buktinya, dia berjaya membina empayar perniagaan yang mungkin tidak dapat dicapai individu berijazah mahupun berkelulusan tinggi lain yang lebih gemar kerja makan gaji.
Tidak pernah lupa asal usulnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, kejayaan dikecapi tidak datang bergolek, sebaliknya ia hasil kerja keras dan sikap tidak pernah putus asa yang tertanam dalam dirinya.
Menceritakan kembali zaman kesusahannya waktu itu, Jamal berkata, keluarganya bukan daripada kalangan orang senang. Bapanya hanya bekerja kampung manakala ibunya penjual kuih.
“Seawal usia 10 tahun, saya menolong abang menjual hasil tangkapan laut di Pasar Sekinchan menaiki basikal sejauh lima kilometer dari rumah.
“Selain itu saya melakukan pelbagai kerja kampung seperti kopek kelapa, kait kelapa dan menolong rakan menjual burger bagi mencari duit poket,” katanya.
Sebaik tamat sekolah di Sekolah Menengah Datuk Mustafa Pasir Panjang, Sabak Bernam, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
Berbekalkan wang hasil kerja kampungnya sebanyak RM80, dia berazam mengubah nasib dirinya dan keluarga, apatah lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.
Meskipun disuruh ibunya mengambil semula peperiksaan itu, dia enggan kerana minatnya lebih terdorong ke arah kemahiran, terutama perniagaan.
“Pada mulanya ibu melarang saya ke Kuala Lumur sebab dia mahu saya mengambil SPM kali kedua, namun saya ‘terpaksa’ tipu mengatakan saya hanya mahu berjumpa kawan di sana.
“Tiba di Kuala Lumpur, saya menumpang di rumah seorang rakan dan bekerja sebagai budak penghantar surat dengan gaji RM7 sehari.
“Waktu itu baru saya tahu bagaimana peritnya bekerja di kota besar dengan gaji yang tak seberapa hinggakan dalam keadaan terdesak, saya pernah makan baki nasi bungkus ditinggal rakan yang dihurung semut dalam keadaan gelap untuk alas perut kerana tidak berselera menelannya dalam keadaan terang,” katanya.
Tambah Jamal, hanya tuhan tahu perasaannya waktu itu sebab mahu buang tidak sampai hati, manakala mahu beli nasi baru dia tiada wang.
Selepas dua bulan menjadi budak penghantar surat, dia berhenti kerja akibat tidak tahan leteran majikan sebelum bekerja di kilang Ramly burger di Cheras dengan pendapatan RM10 sehari.
Bosan dengan kerja makan gaji, pemilik syarikat pengimport dan penjual kenderaan import baru dan terpakai IBM Automobiles Sdn Bhd ini tekad memulakan hidup baru dengan membuka perniagaan menjual burger di sekitar Bandar Baru Sentul.
Waktu itu dia menggunakan kayu terpakai mendirikan gerai mengikut kreativitinya sendiri, termasuk mengecat sebagai langkah permulaan.
Tidak menyangka sambutan diterima di luar jangkauan, bermula hanya sebuah gerai ia berkembang menjadi 11 gerai menjual burger sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun beroperasi.
Dalam tempoh itu juga Jamal mampu membeli tujuh van digunakan sebagai kemudahan berniaga di 13 lokasi pasar malam yang beroperasi serentak.
“Selepas perniagaan burger maju, saya mengembangkannya dengan membuka syarikat menyediakan perkhidmatan khemah dan membekalkan alat tulis kepada Kementerian Pertahanan dan jabatan kerajaan selain menceburi bidang pembinaan.
“Pada 1995, minat saya lebih terarah ke bidang automotif pula dan berpeluang menjadi pengarah di sebuah syarikat permotoran,” katanya.
Prestasi baik yang ditunjukkan membolehkan Jamal ditawarkan jawatan eksekutif jualan kepada beberapa syarikat pengimport kereta.
Jawatan itu juga membolehkan dia menjelajah ke Itali, Jepun dan negara Eropah lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai dunia automotif.
Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nasib tidak menyebelahi Jamal apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997.
Jamal terpaksa menggadaikan semua aset sedia ada bagi melangsaikan hutang tertunggak. Tidak mampu menghadapi tekanan, dia melarikan diri ke Jakarta selama setahun.
Berbekalkan RM100,000 di sana, dia memulakan hidup baru dengan menjual kain pasang yang dieksport ke Malaysia dan perniagaannya maju.
“Mungkin ini ujian Allah supaya berkongsi rezeki dengan mereka yang berhak. Namun saya reda dan ia benar-benar memberi pengajaran supaya tidak lalai dengan nikmat diberi.
“Pun begitu saya bersyukur walaupun aset tergadai, segala hutang berjaya dilangsaikan dan pulang saja ke Malaysia, saya tekad membuka semula perniagaan secara perlahan sebelum berjaya membuka IBM Automobiles Sdn Bhd,” katanya.
Kini Jamal mampu tersenyum puas apabila jualan keretanya menjangkau 30 kereta sebulan, malah semua anak syarikatnya juga dalam keadaan stabil.
PROFIL
NAMA: Datuk Jamal Md Yunos
UMUR: 33 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif IBM Automobiles Sdn Bhd
ASAL: Sungai Leman, Sekinchan
ISTERI: Nurhanizatul Shida Mat Hassan
ANAK: Mohd Amin Danial (10)
MESKIPUN memiliki rangkaian perniagaan besar dan bertaraf jutawan, ia bukan satu tiket untuk Jamal mendabik dada, sebaliknya rezeki diperoleh dikongsi bersama mereka yang berhak.
“Saya akan mengadakan seminar selama seminggu yang diadakan di IBM di Kuala Lumpur, malah segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.
“Daripada 50, 10 yang terbaik dipilih mengikuti kursus automotif di Itali dan Jepun sebagai persediaan apabila pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pekerja serba boleh.
“Di sana, mereka akan diajar cara penyelenggaraan kenderaan yang pelbagai bentuk dengan betul dan lebih terperinci,” katanya.
Dalam pada itu, IBM Automobiles terus mengorak langkah apabila bakal membuka dua cawangan sekitar Lembah Klang dan di negeri yang belum diputuskan.
Menariknya, ia bukan sekadar pusat jualan kereta, malah turut disediakan bengkel dan kemudahan alat tukar ganti di tempat sama.
Paling membanggakan, IBM Automobiles turut memiliki rangkaian di United Kingdom (UK). Bukan mudah bagi anak Melayu menembusi pasaran luar negara jika tidak memiliki kedudukan ekonomi kukuh.
“Di sana ada tiga kakitangan memantau segala urusan mengenai kereta yang bakal dibawa ke Malaysia. Saya bersyukur sebab selama ini tidak pernah bermimpi memiliki perniagaan seperti sekarang,” katanya.
Sewaktu ditanya mengenai kehidupan hariannya yang banyak dihabiskan di pejabat berbanding di rumah, Jamal menjelaskan ia rutin biasa.
“Memandangkan isteri turut menjalankan perniagaan, jadi tiada masalah sebab kami faham kesibukan masing-masing. Selalunya jika ada masa lapang kami mengambil cuti dan bersantai bersama anak.
“Setakat ini dia (isteri) tidak pernah merungut, malah kami sentiasa memberi kata-kata sokongan antara satu sama lain untuk bergelar usahawan berjaya,” katanya sambil tersenyum.

Usahawan Lepasan IPT 1


Gadis Tebu
Deretan tanaman tebu yang menghiasi hampir satu hektar di kawasan bendang terbiar di Kampung Tiak, Kupang, Baling, Kedah telah melenyapkan sama sekali status kawasan itu yang selama ini ditumbuhi hutan liar.
Selama ini tiada siapa yang bersedia membanting tulang sekalipun kawasan bendang terbiar ini subur dan menerima apa jua benih yang ditabur atau ditanam.
Melihat akan potensi dan masa depan tanah yang terbentang luas berhampiran rumah, seorang gadis sanggup mengetepikan perasaan malu dengan menjadikan tebu sebagai tanaman pilihan.
Tindakannya itu akhirnya, membuka mata penduduk kampung yang selama ini tidak menyangka berbudi pada tanah sebenarnya mampu mendapat pulangan lumayan.
Wan Hamidahton Wan Ishak, 24, lulusan diploma Kejuruteraan Mekanikal Pertanian dari Politeknik Kota Bharu, Kelantan ini mengambil langkah berani dengan menyewa tanah dan menjadikan tanaman tebu jenis Morris sebagai tanaman pilihan.
Langkah gadis ini pada mulanya mungkin dianggap penduduk kampung sebagai satu angan-angan atau sekadar mencuba, namun anak keempat daripada tujuh beradik ini membuktikan segalanya boleh dilakukan.
Ternyata Wan Hamidahton tidak kekok ketika memegang cangkul, malah kebolehannya memandu sendiri jentera pembajak membuktikan dia begitu teruja untuk terjun ke bidang ini.
Tanah milik penduduk kampung yang selama ini terbiar membuka mata Wan Hamidahton untuk memajukannya secara komersial di Kampung Tiak, Kupang ini.
Menceritakan pengalaman awalnya, gadis ini berkata, apabila kembali ke kampung dua tahun lalu dia begitu sedih apabila melihat banyak tanah sawah terbiar yang menjadi semak samun kerana pemiliknya tidak lagi berminat untuk mengusahakan sawah.
Mungkin fikirnya anak muda sepertinya tidak lagi berminat dengan kerja kotor pada anggapan mereka sehingga timbul perasaan ingin menceburi secara bersungguh-sungguh.
Hasrat murni gadis ini untuk turun ke tanah membanting tulang bagaikan seiring dengan cita-cita bapanya, Wan Ishak Wan Ibrahim, 56, yang lantas berjaya menghidu niat baik anak gadisnya ini.
Berbekalkan modal sendiri Wan Hamidahton dan bapanya menanam sebanyak 3,000 pokok tebu sebagai permulaan sehinggalah lapan bulan kemudian hasilnya menguja kedua-dua beranak ini.
Sekalipun usaha gadis ini berjaya, dia yang tidak dibantu oleh pihak tertentu tidak berasa kecewa kerana sedar mungkin pihak berkenaan mahu melihat sejauh mana kebolehan petani muda sepertinya bergerak sendiri.
“Setakat ini, belum ada mana-mana pihak membantu tetapi saya sedar sebagai orang baru kita kena hidup dan berikhtiar sendiri,’’ katanya.
Kesungguhannya turun ke ladang tebu seawal pagi untuk menjenguk pokok tebu terutama bagi mengelak tanaman ini diserang musuh jelas menunjukkan dirinya semakin meminati dunia pertanian yang diceburinya.
Rutin harian anak gadis ini ialah membersih kawasan tanaman tebunya dengan sesekali membuang daun-daun kering dan memeriksa batang pokok tebu kalau-kalau ia diserang penyakit.
Menurut Wan Halimahton, ketika mula-mula menanam tebu dia banyak belajar daripada bapanya termasuk dalam memilih tebu bermutu untuk dijadikan benih.
Katanya, pada mulanya dia menjangkakan agak sukar untuk menjaga tanaman ini kerana sebelum ini dia tidak pernah menjalani apa jua kursus atau latihan mengenai tanaman itu.
“Selepas menceburinya saya dapat rasakan pengalaman terlibat dalam bidang pertanian cukup puas,” katanya.
Tambahnya, tebu akan matang antara lapan hingga sembilan bulan bergantung kepada keperluan baja dan penjagaan.
Setiap kali tebu mencapai tahap matang Wan Halimahton berkata, antara satu hingga dua tan tebu dapat ditebang sebelum dijual kepada peraih.
Bagi semusim dia dapat menebang sehingga 18 tan tebu jenis Morris. Selain jenis Morris, terdapat juga tebu hitam yang ditanam di ladang tebu milik gadis ini.
Namun anak gadis yang bercita-cita menjadi jurutera pertanian ini yakin tebu kuning jenis Morris ini berpotensi besar sekiranya ditanam secara komersial.
“Tebu jenis ini agak besar dan airnya cukup manis dan tahan penyakit,” ujarnya.
Wan Hamidahton berkata, tebu yang ada di ladangnya itu bakal ditebang tidak lama lagi dan selepas itu tebu Morris akan mengambil tempat menghiasi ladangnya.
Bagi membuktikan bekalan dan permintaan yang tinggi terhadap tanaman ini, petani muda ini telah bersedia untuk menyewa lagi kawasan tanah sawah terbiar untuk ditanam dengan tebu.
Setakat ini, tebu yang dihasilkan oleh gadis ini hanya mampu menampung pasaran tempatan termasuk sehingga ke Pulau Pinang.
Pun begitu Wan Hamidahton dan bapanya, juga menanam tebu secara berperingkat-peringkat bagi mengelak kehabisan bekalan terutama menjelang bulan Ramadan ini.
Mengenai harga tebu, dia yakin harga tanaman ini akan meningkat dari semasa ke semasa. Ketika ini Wan Hamidah berkata, dia menjual tebu dengan harga RM0.50 sekilogram iaitu melebihi RM500 bagi setiap tan.
“Biarpun nampak murah namun tebu jenis Morris agak menarik kerana mutunya cukup baik,” ujarnya.
Gadis yang tidak lokek dengan senyuman ini ternyata puas dengan usahanya untuk memperluaskan lagi tanaman tebu jika mendapat kawasan tanah yang luas.
“Insya-Allah kami sedang bergerak ke arah itu dan akan menyewa tanah lagi bagi memajukan lagi bidang ini,” akuinya.
Bagi Wan Ishak kesungguhan anaknya terlibat dalam bidang ini sungguh melegakannya kerana dia yakin bidang ini cukup berpotensi besar, malah penyertaan Wan Halimahton boleh membuka era baru dalam tanaman tebu khususnya pertanian yang dianggap perniagaan yang menguntungkan.
Suami kepada Hindon Abdullah, 54, ini mahu menjadikan anak gadisnya contoh kepada anak-anak kampung terutama wanita kerana tanah terbiar yang luas masih menanti mereka.
Sekalipun digelar gadis tebu, Wan Halimahton sedar umur seusianya perlu menongkah masa untuk bangkit memajukan bidang pertanian kerana bidang ini semakin terserlah dan menjadi keutamaan kerajaan.