Monday 21 November 2011

Usahawan Kamdar

Beliau tidak menganggap berniaga sebagai kerja tetapi sebagai hobi. Dia tidak takut membuat kesalahan dan sentiasa belajar daripadanya. Beliau juga berani mengambil risiko.
HARSUKHLAL Maganlal Kamdar adalah Pengasas dan Pengarah Urusan pasar raya Kamdar. Harsukhlal juga adalah Presiden Persatuan Gujarati.




Latar belakang

Harsukhlal adalah usahawan yang dilahirkan di Gujerat. Beliau tiba di Malaysia pada tahun 1941 bagi menyertai ayah dan abangnya dari kampung halamannya di Rajkot, iaitu selepas menamatkan tingkatan lima pada usia 14 tahun. Pada masa itu, bapanya menghendaki beliau meneruskan pelajaran tetapi beliau ingin bekerja. Walaupun kurang mendapat pendidikan formal kerana belajar hanya setakat tingkatan lima, beliau banyak mendapat ilmu daripada sumber-sumber lain seperti pengalaman kerja dan juga pengalamannya sebagai usahawan.

Mula berniaga

Harsukhlal memulakan perniagaannya dalam bidang import eksport tetapi perniagaannya itu terpaksa dihentikan apabila Perang Dunia Kedua melanda. Selepas itu, beliau sering menunggang basikal 20 batu sehingga 30 batu sehari di sekitar Pulau Pinang bagi mencari peluang-peluang perniagaan.

Menyertai abang…

Usahanya itu kurang membuahkan hasil. Pada tahun 1945, beliau menghentikan usahanya mencari peluang per-niagaan di sekitar Pulau Pinang dan menyertai abangnya yang membuka sebuah kedai kain di Ipoh. Harsukhlal menyertai perniagaan abangnya itu buat seketika sebelum pulang ke India selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Selepas beberapa lama di India, beliau pergi ke Singapura bagi menyertai perniagaan yang dimiliki oleh bangsa Punjabi. Perniagaan itu melibatkan import eksport kain, sagu, kekacang, kain guni dan bermacam barangan lagi. Harsukhlal bekerja di situ selama tiga tahun.

Mencari pendapatan tambahan

Semasa bekerja dengan kedai itu, Harsukhlal berasakan gaji yang diterimanya sebanyak 80 dolar tidak mencukupi. Jadi, bagi menampung pendapatannya, beliau bekerja secara sambilan dari pukul 5 petang sampai 7 malam di pejabat juruaudit. Di situ, tugas beliau adalah memeriksa akaun. Beliau dibayar sebanyak 120 dolar.

Permulaan Kamdar

Selepas berhenti dari kedai itu, beliau mula bekerja dengan abangnya, Balvantrai di kedai dua tingkat di Ipoh. Di situlah ‘Kamdar’ bermula pada tahun 50-an dengan nama asalnya BA Lalaji yang seterusnya bertukar kepada BH Kamdar & Kamdar. Kedai kedua dibuka di Pulau Pinang, diikuti dengan kedai di Singapura bagi menguruskan perniagaan pemborongan tekstil.

Berkembang ke KL

Selepas membuka kedai di Ipoh dan Pulau Pinang, Kamdar terus berkembang ke Kuala Lumpur. Kedai itu dibuka pada tahun 1973 di No. 431-433, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, empat tahun selepas dibuka, iaitu pada tahun 1977, kedai itu ditutup dan lot rumah kedai yang kosong itu disewakan kepada orang lain. Harsukhlal tidak bersetuju dengan keputusan abang-abangnya dan berpendapat pendapatan yang dijana daripada penyewaan lot kedai itu tidak berbaloi. Malangnya, nasihatnya tidak diendahkan.

Berusaha memperbaiki keadaan

Harsukhlal kemudiannya membuat keputusan pergi sendiri ke Kuala Lumpur pada tahun 1977 dan cuba memperbaiki keadaan. Pada tahun 1980, beliau membuka kedai di Jalan Chow Kit, iaitu pasar raya 6 tingkat di sebelah pasar raya Batu Road. Kemudian, sebuah lagi dibuka di sebelah Globe Silk Store.

Pertukaran dalam tumpuan perniagaan

Harsukhlal dan abang-abangnya kemudiannya membuat keputusan beralih daripada perniagaan borong kepada runcit. Pertukaran dalam tumpuan perniagaan itu adalah disebabkan terma kredit yang terlalu lama dalam perniagaan borong. Namun, mereka tetap mempunyai sebuah unit di Pulau Pinang yang mengkhususkan pada perniagaan borong.

Kejayaan

Perniagaan Kamdar terus berkembang pesat dan mereka terus membuka cawangan kedai di bandar-bandar utama di seluruh Semenanjung Malaysia. Dengan enam buah kedai di Kuala Lumpur, yang mana empat adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kamdar kini mempunyai 18 buah kedai dengan 1,000 orang pekerja. Harsukhlal juga bercadang mengembangkan lagi perniagaannya hingga ke Sabah dan Sarawak.

Kemelesetan

Walaupun melalui banyak kemelesetan ekonomi, Kamdar masih kekal sebagai pasar raya tempatan yang berdaya saing. Pada hari ini, pasar raya Kamdar menawarkan pelbagai jenis tekstil dan fabrik pada harga yang berpatutan. Kamdar memperoleh kainnya daripada sumber tempatan dan juga melalui pejabat operasinya di luar negara seperti di India, Indonesia, Korea dan Emiriyah Arab Bersatu.

Kebajikan

Harsukhlal adalah orang yang pemurah dan menguruskan beberapa rumah anak yatim di India. Beliau juga membina asrama khusus bagi kanak-kanak perempuan terbiar di Gujarat. Harsukhlal juga dilaporkan menderma sebanyak RM500,000 kepada mangsa gempa bumi di Bhuj, India.

Rahsia kejayaan

Beliau tidak menganggap berniaga sebagai kerja tetapi sebagai hobi. Dia tidak takut membuat kesalahan dan sentiasa belajar daripadanya. Beliau juga berani mengambil risiko.
Perniagaannya juga kekal teguh kerana semangat kekeluargaan yang mantap. Semua ahli keluarganya bekerja dengan Kamdar. Harsukhlal sentiasa berusaha menambahkan kepelbagaian produk yang dijual supaya setiap kehendak pelanggan dapat dipenuhi.

Mereka juga sentiasa memastikan segala komitmen kepada pihak bank dipenuhi tepat pada masanya. Contohnya, mereka memastikan segala hutang dijelaskan dengan sepenuhnya dan tepat pada masanya. Tidak lupa juga pihak pembekal yang harus dibayar tepat pada masanya.

Kamdar juga memastikan sewa kedai, iaitu apabila mereka menyewa ruang niaga di pusat membeli belah dibayar tepat pada masanya. Harsukhlal juga adalah orang yang rajin.
Falsafah
Falsafah perniagaan Kamdar adalah ‘beli murah dan jual murah’. Ini bermakna mereka sentiasa berusaha menjual dengan harga yang berpatutan.

Kejayaan Kamdar juga adalah kerana syarikat itu mempunyai beberapa peraturan. Pertama, pengarah syarikat tidak dibenarkan mengambil overdraf daripada pihak syarikat. Kedua, syarikat tidak dibenarkan menjadi penjamin kepada orang perseorangan. Ketiga, syarikat tidak boleh terlalu aktif dalam pasaran saham.

Keempat, wang syarikat tidak boleh dilaburkan dalam sektor hartanah bagi mendapatkan pendapatan sewa dan juga peningkatan dalam harga. Contohnya, apabila salah seorang pemegang saham dalam Kamdar ingin membuka perniagaan lain, hartanah yang dibeli bagi memulakan perniagaan itu perlu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri. Ini kerana apabila wang syarikat digunakan, syarikat kelak akan kekurangan wang bagi membayar pembekal dan bank.